75 pelatih PLKN dijangkiti H1N1
Hospital Kuala Nerang, yang menempatkan pelatih-pelatih yang dimasukkan ke wad.
75 pelatih PLKN dijangkiti H1N1
Dua pelatih dilihat mengenakan topeng hidung dan mulut bagi mengelakkan jangkitan.
ALOR SETAR - Seramai 75 pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) Kem Dusun Minda Resort, Kampung Pisang, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang, disahkan dijangkiti virus Influenza A (H1N1), kelmarin.

Pengarah Kesihatan Kedah, Dr Ismail Abu Taat berkata, kes berkenaan mula dikesan apabila ramai pelatih di kem terbabit mula mengalami demam dan batuk.

“Mereka kemudiannya dibawa pihak pengurusan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Nerang dan hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya disahkan dijangkiti virus berkenaan.

“Seramai 60 pelatih hanya menerima rawatan pesakit luar manakala 15 daripadanya termasuklah 11 pelatih lelaki dan empat pelatih perempuan, ditahan di wad Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Menurutnya, punca jangkitan dipercayai bermula daripada salah seorang pelatih yang sudah dijangkiti H1N1 yang kemudiannya merebak kepada pelatih lain sama ada akibat batuk atau bersin yang tidak mengikut tatacara yang betul.

“Setakat petang ini, tiada laporan mengenai pertambahan bilangan pelatih yang dikesan dijangkiti virus berkenaan.

“Ini merupakan kes pertama pada tahun ini, dan setakat ini tiada kes-kes melibatkan virus lain dikesan di negeri ini,” katanya.

Ismail berkata, golongan waris dan ibu bapa pelatih-pelatih di kem terbabit tidak perlu bimbang kerana keadaan pada masa kini masih terkawal.

“Kem itu tidak ditutup sebaliknya semua pelatih dan kakitangan diminta menumpukan kepada aspek penjagaan kebersihan, cuma ingin saya tekankan ialah individu yang mengalami demam dan batuk, perlu segera mendapatkan rawatan di pusat kesihatan berhampiran.

“Malah, saya juga ingin mengingatkan agar semua pihak sentiasa mengutamakan aspek kebersihan, termasuklah sewaktu batuk atau bersin bagi mengelakkan virus tersebar kepada individu lain,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke kem berkenaan hari ini mendapati suasana agak lengang dan tiada aktiviti luar dijalankan.

Seorang pelatih yang enggan dikenali, berkata, aktiviti di kem berkenaan masih berjalan namun agak terbatas.

“Kesemua pelatih diminta menjaga kebersihan diri dan dibekalkan dengan topeng penutup hidung dan mulut, namun hanya pelatih yang disahkan bebas jangkitan sahaja tidak dikuarantin di kem.

“Waris dibenarkan melawat namun semua pelatih tidak dibenarkan pulang kerana bimbang virus akan merebak dan menjangkiti ahli keluarga masing-masing,” katanya.

Pihak pengurusan kem berkenaan bagaimanapun enggan memberikan sebarang kenyataan.

Dalam pada itu, tinjauan di Hospital Kuala Nerang mendapati beberapa laluan ditutup dan dikhaskan untuk pesakit yang dijangkiti virus berkenaan sahaja.

Pihak pengurusan hospital juga enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara itu.

DI HARAP TIADA MANA-MANA PIHAK YANG CUBA MENUDING JARI MENYALAHKAN PIHAK KEM PLKN INI SEGALA YANG BERLAKU ADALAH PERKARA YANG TIDAK DIRANCANG , DAN PIHAK KEM TELAH MENGAWAL SELIA PERKARA INI.
Tanggungjawab Bersama